Tersentuh

image674edit.JPGAssalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pertama sekali, saya memohon maaf andai entri saya sejak kebelakangan ini kelihatannya sedikit sentimental. Ya, perasaan itu hadir sendiri. Saya cuba mengelaknya sedaya yang mungkin. Dan hakikatnya, meluahkan perasaan di blog bersama insan lain yang sudi berkongsi mata dan hati untuk membacanya amat menyenangkan..

Alhamdulillah, rasanya ketika ini kedua orang tua saya sudah berada di dalam perut kapal terbang dan jika diizinkan dalam masa beberapa jam lagi sampailah mereka ke tanah suci. Saya cuba mengelak untuk menangis namun air mata ini mengalir dengan sendirinya dan ia mampu mempengaruhi adik saya yang seorang lagi untuk turut menumpahkan gerimis di pipi. Barangkali sebak kerana teringatkan pesanan-pesanan yang ditinggalkan oleh kedua mereka terutamanya ayah saya. Tentang tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul. Tidak perlulah dijelaskan apakah amanat beliau..namun, sedikit sebanyak apa yang diucapkan mampu membuatkan sesiapa sahaja tersentuh di hati. Andai tiada air yang melimpah dari kolam mata barangkali masih ada hujan yang terbenam di dasar hati.

Ketika menghantar mereka itulah, saya melihat seorang lelaki tua. Mungkin usianya lebih tua dari ayah saya sendiri. Dia berjalan dalam gaya yang agak sukar. Ia amat menyentuh hati saya. Terasa diri saya teramat kerdil di samping mereka. Begitu juga dengan petugas-petugas Tabung Haji yang berhemah dan bagi saya, mereka tergolong dalam kelompok manusia yang sangat penyabar.

Selepas 12.30 pagi tadi, kami pulang ke Shah Alam. Adik lelaki dan abang saya hanya bermotosikal dan kami singgah di sebuah kedai mamak untuk minum. Walaupun tanpa kehadiran adik bongsu saya yang masih menduduki peperiksaan SPM, namun keakraban itu lebih terasa. Ayah saya berpesan supaya kami berbaik dan menjaga antara satu sama lain. Saya bersyukur kerana mempunyai adik beradik seperti mereka walaupun kami pernah bertikam lidah.

Saya tidak boleh tidur. Terkedip-kedip mata saya di atas katil biarpun jam sudah menjengah ke angka tiga pagi. Dan entah bila saya terlelap. Sedar-sedar sahaja, waktu telah beranjak ke angka hampir 4.00 pagi. Dan ketika itulah saya membaca SMS dari emak saya. Mengkhabarkan bahawa mereka telah berada di dalam kapal terbang pada pukul 3.51 pagi tadi. Hanya terlewat beberapa minit sahaja untuk saya membalasnya. Dan kini, saya sudah mula mengadap komputer. Mengharap supaya ia mampu mengubat mata saya agar terlena dengan aman.

Terlalu banyak cerita yang berlaku bila keluarga yang hanya bermula dengan seorang suami dan isteri yang mana akhirnya melahirkan lebih banyak suami dan isteri selepasnya. Saya berharap semoga keakraban yang tercipta itu akan terus bersemi meskipun di hati pernah terguris suatu perasaan yang sukar diungkapkan. Andai boleh, biarlah tiada persengketaan yang berlaku antara kita. Semoga setiap kali dendam kesumat menyelinap di dalam sanubari, minda ini akan terkenang bagaimana mesranya kita di dalam sebuah situasi dan ianya jauh lebih bererti dari sebuah kesilapan yang terjadi.

Saya yakin, ayat di atas terlalu rumit untuk difahami. Berpeganglah kita pada peribahasa lama, air yang dicincang tidak akan terputus.

-Nieys Zahri-

Advertisements
Dikirim dalam dairi hidup. 15 Comments »

15 Respons to “Tersentuh”

  1. Am Says:

    patutlah entry agak sentimental sekarang nieys, banyak benda yang sentimental sedang dan telah berlaku ya

  2. nieys Says:

    AM >>
    memang agak sentimental.. insyaALLAH.. lepas ni OK kot.. πŸ™‚ tak nak sentimental-sentimental lagi..

  3. azriey Says:

    salam kak nieys,
    Hati saya lebih tersentuh sewaktu menghantar ibu untuk ke Mekah pada 2004, hati ini lebih sebak kerana ibu terpaksa pergi berseorangan. Ketika itu saya rasa hati ibu saya tentu lebih tersentuh.

  4. 13may Says:

    hi Nieys…saya mcm sayu membaca entry kekeluargaan nih….sebab keluarga saya tak mcm nih…
    hmmm…saya dah tak bertegur sapa ngan kakak saya dekat 7-8 tahun camtu…even hari raya pun…ntah la nieys…jenuh abg dan kakak serta adik menasihati supaya lupakan benda yg telah berlaku…tapi saya mcm tak boleh nak berbaik lagi ngan dia…masih lagi marah…puncanya…dia serta terutamanya suaminya telah melakukan sesuatu hingga arwah mak saya menangis,…saya memang cukup pantang org kasi arwah mak saya menangis…memang marah sgt…tapi kadang2 sedih gak…darah yg mengalir dlm tubuhnya sama ngan darah saya…mungkin saya perlukan sedikit masa lagi….

  5. Abang Long Says:

    “Manusia lahir hasil dari sebuah kemesraan”. Fikir – fikirkanlah.

  6. nieys Says:

    azriey >>
    sama kesnya dengan makngah akak.. tiga kali pergi Mekah sendiri.. sebenarnya kita kena yakinkan juga diri kita supaya redha dengan semuanya kan.. πŸ™‚

    13may >>
    Ya. Memang sukar untuk memaafkan jika berlaku sesuatu yang terlalu mendalam kesannya. Cakap memang senang, kan..? Kita tidak berada dalam situasi yang dialami orang tersebut makanya kita tidak tahu barangkali kita jua melakukan perkara yang sama. Adakah memaafkan dan melupakan adalah dua perkara yang berbeza? Saya selalu terfikir…Berdoalah selalu semoga kita semua diberikan petunjuk.. πŸ™‚
    Jangan sedih-sedih lagi tau, 13may.

    Abang Long >>
    Betul tu.. selalu dengar kata-kata ini. Jika semua manusia memahaminya mungkin tiada lagi peperangan di muka bumi ini.. πŸ™‚

  7. bono201 Says:

    jangan sedih-sedih nieys…sentimental itu nilai yang perlu ada dlm diri kita include luahan dalam tulisan/karya kita…jangan sedih2 doakan moga mereka selama,saya tuurut mendoakan….

    cepatlah berkarya lagi…

  8. ryan2zing Says:

    cedihnyer..

  9. mazudi Says:

    Seems like, ada orang yang tidak tenteram perasaannya. Yang ni pun akan berlalu. Sabar.

  10. jaffrizaini Says:

    semoga kedua orang tua niey selamat mengerjakan Haji yang mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat.

    sentimental adalah sebahagian dari perasaan yang dikurniakan Allah SWT utk insafi diri.

    – salam –

  11. nieys Says:

    bono201 >>
    terima kasih.. πŸ™‚ insyaALLAH.. nanti saya tulis lagi ya..

    ryan2zing >>
    ikhlas ke? terima kasih.. πŸ™‚

    mazudi >>
    terima kasih Mazudi.. sekarang ni dah tak sedih sangat.. cuma teringat je..

    jaffrizaini >>
    terima kasih atas nasihat awak. Dan terima kasih juga kerana sudi datang ke sini.. πŸ™‚

  12. Bayu Senja Says:

    wah..
    suatu perubahan. saya dah ziarah alamat baru awak. dan saya dah masukkan juga dlm senarai link di blog saya.
    semoga terus dengan perubahan πŸ™‚

  13. nieys Says:

    terima kasih Bayu Senja.. πŸ™‚

  14. bang_gugar Says:

    salam,
    mana tisu aku.. mau kasi lap sama ini air mata.

    (“,)

  15. Shahyati Says:

    lahirnya manusia dari kemesraan….kerana itu jagailah ikatan kekeluargaan agar bahagia selalu…cuma kadang-kadang ego, irihati, cemburu menimbulkan sengketa dalam keluarga…saya dah lalui pengalaman menyiksakan ini dan kini semakin menjaga agar tidak ada yang terasa hati…


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

«

»
%d bloggers like this: