Karya Insani

Karya Insani merupakan beberapa cerita-cerita pendek yang pernah saya tulis di dalam weblog saya yang terdahulu.

PEJALAN KAKI

MENGINTAI-INTAI kisah yang berlaku sekitar Ramadhan. Kembali mengirai tabir kenangan tentang Ramadhan yang lalu. Masih juga berkisar tentang pengalaman yang diterokai oleh seorang pejalan kaki bersama teman-temannya. Dan teman-temannya itu pula tidak lain dan tidak bukan adalah orang yang

hampir sama dalam setiap cerita yang dicatatkan.

Pertama sekali tentu sahaja hal yang sedemikian tiada kena mengena dengan gambar yang terselit di dalam entri ini. Gambar ini sekadar sebuah hiasan. Sebetulnya aku ingin meletakkan gambar Keanu Reeves sebagai penghias. Namun, jelas sekali aksi Ricardo KAKA yang berlari ini lebih sesuai dimuatkan dalam siri kali ini.

Kali ini pejalan kaki yang wataknya adalah aku; bersama dengan dua lagi teman yang akrab di UTM iaitu Dila dan Aini. Keterujaan sekali lagi menerjah perasaan lantas mengibarkan sayap semangat untuk meniti anak-anak tangga bas dan menapak di bawah jambatan. Matlamat hanyalah satu. Demi melangsaikan keinginan berbuka puasa di Plaza Angsana. (Jika tidak tersilap ingatan ini). Ya, aku pasti ianya berlaku di bulan yang mulia.

Benar. Ketika cerita ini berlangsung, kekuatan mental masih lagi perlu di kalangan pejalan kaki yang hendak ke Plaza Angsana. Turun dari bas, kami perlu menapak beberapa kilometer untuk ke destinasi. Kami juga perlu merentasi sebuah perkampungan Indonesia yang mana membuatkan kami berasa seakan-akan ‘berada di luar negara’ ketika melaluinya. Terdapat sebuah panggung wayang yang usang tidak berpenghuni dan sebuah semak-samun yang boleh tahan tinggi pangkal lalangnya. Kawasan terakhir sebelum tiba ke pusat membeli-belah itu sudah pastinya bawah jambatan yang buram tidak bercahaya. Pernah juga kawanku Aziz yang rabun itu jatuh ke dalam sebuah longkang dek kerana kesuraman tersebut.

Begitulah. Bukan mudah untuk tiba ke sana. Andai berjalan sendirian pastinya ketakutan itu bakal menghuni hati dan menerbitkan sebuah gelora yang tidak dapat disangkal lagi. Aku, Dila dan Aini tetap memberanikan diri. Bukan kerana kami handal dalam ilmu persilatan. Kami langsung tidak punya apa-apa warna tali pinggang. Dan ayahku yang pernah menjadi guru silat itu juga tidak pernah menurunkan ilmunya kepadaku dan aku hanya belajar dari sebuah pemerhatian.

“Alamak! Lupa pulak. Balik nanti singgah peti pos jap. Aku nak pos kad raya,” pesanku.
Dila dan Aini angguk tanda setuju.

Tiba di Angsana dan menghabiskan masa di situ selama beberapa jam. Zaman pengajian, biarpun kurang ketebalan duit yang berlapis di dalam dompet, hati tetap riang. Asalkan sahaja ada teman yang sanggup berkongsi masa susah dan senang, cukuplah. Apa yang penting, di antara kami tiada yang suka mengambil kesempatan. Setiap hutang pasti dilangsaikan. Jika tidak hari ini, hari esok yang lain pula akan tidak teragak-agak menghulurkan tangan.

Waktu untuk pulang ke rumah sewa. Aku, Dila dan Aini menapak sekali lagi. Di dada langit yang terbentang sudah tentulah sebuah lakaran yang berbalam-balam. Tidak cukup untuk memperlihatkan warna kulit manusia-manusia yang berjalan di atas bumi. Namun, bukanlah terlalu hitam pekat untuk menjadikan manusia teraba-raba tanpa arah tujuan. Keriuhan di bangunan tadi semakin jauh kami tinggalkan. Dan suara alam pula sesekali diusik bunyi kenderaan yang bersimpang siur di atas jalan raya nun jauh di hadapan sana. Kami berbual demi mengisi suasana yang membosankan itu. Ya! Itulah petuanya. Lebih baik jika tidak berjalan sendirian bagi mengelakkan kebosanan dan keletihan yang melampau.

Derap kali semakin jelas kedengaran di gegendang telinga. Sabur-limbur suara-suara manusia yang berbisik sesama sendiri seakan begitu menghampiri kami bertiga. Tanpa disapa, kami bertiga mendiamkan diri. Bagaikan mengerti, di dalam hati masing-masing terselit sebuah ketakutan yang sama namun tidak terzahir dengan kata-kata. Siapakah gerangannya di belakang ini? Kenapa derap kaki mereka seakan pantas bagaikan ada niat untuk mengancam keselamatan kami? Siapa??!

Kebisuan itu nalar menjadi penghias detik yang berlalu. Secara automatis juga, ritma hayunan kaki semakin laju dan hampir sahaja menyamai peserta pejalan kaki yang mengejar garisan penamat! Antara kami, Dila yang paling ‘comel’ jadi sudah tentu sahaja dia juga yang tertinggal di belakang.

Benar. Itukah ertinya sahabat sejati? Bila berdepan situasi yang menakutkan, diri sendiri yang harus lebih dahulu terselamat. “Tak mengapa, kalau aku selamat.. aku masih boleh berlari dan minta pertolongan orang lain untuk selamatkan kau..” Barangkali itulah bisikan halus antara aku dan Aini terhadap Dila.

Debaran semakin memuncak bila kami hampir tiba di hadapan pejabat pos yang sudah ditamatkan perkhidmatannya untuk hari itu. Aku mengeluarkan beberapa keping sampul putih untuk dimuatkan ke dalam peti surat besar. Dila menghampiri dalam keadaan termengah-mengah. Dan kami tidak memandang ke belakang dan berharap semoga tiada apa-apa yang berlaku. Orang kata, kalau kita tunjuk takut lagi mudah orang ambil kesempatan mengganggu. Jadi, kami pura-pura buat tak tahu.

Kecamuk yang mengganas di sanubari masih belum ternoktah. Tawakkal. Pasrah. Dan apabila sekumpulan manusia yang mengekori kami itu berjaya melintasi kami, itulah saatnya kami bertiga memberanikan diri meneliti gerangan mereka. Sungguh tidak tersangka sama sekali. Mereka yang kami takutkan itu hanyalah sekumpulan kanak-kanak yang kami teka usianya belum menjejah 13 tahun. Kesemua mereka lengkap berpakaian baju melayu dalam rencam warna yang indah. Dan yang pastinya, mereka berlalu tanpa mempedulikan kami.

Aku, Dila dan Aini tertawa. Paranoid,kah kami?

———————————-

KERANA AISKRIM ITU SEDAP RASANYA

SESUATU telah terjadi siang tadi. Perkara itu bukanlah sesuatu hal yang besar.. tetapi, ia telah membawaku mengimbau pada kisah yang berlaku kira-kira setahun yang lalu. Jika aku sebutkan di sini bagaimana perkara itu boleh mencetuskan kejadian lepas, tentu sekali aku akan ditertawakan. Jadi.. biarlah aku tidak menceritakannya..

Kisahnya tidaklah pelik sangat. Sekadar memberi sedikit pengajaran pada kejadian yang rasanya bila dikenang dalam masa beberapa tahun yang akan datang boleh jadi sesuatu yang mengundang ketawa orang-orang yang terlibat. Ketika itu, aku dan keluarga sedang enak menikmati hidangan sarapan pagi yang aku sudah lupa apakah juadahnya..

Yang pasti kami menikmatinya di atas lantai yang beralaskan suratkhabar. Maklumlah.. keluarga besar.. tidak muat meja dan kerusi yang ada di rumah itu.

Dua beradik ini dibiarkan bermain sesuka hatinya. Kebetulan bilik tidur adikku yang bongsu, iaitu merangkap Mak Su anak-anak ini terbuka luas. Dan aku pun tidak pasti.. kenapalah dua beradik ini memang suka sangat membuatkan sesuatu yang boleh mengundang kemarahan Mak Su mereka. Barangkali, kanak-kanak memang begitu. Mereka lebih suka melakukan perkara yang ditegah. Dan sesungguhnya, Mak Su mereka memang tersangatlah garang dengan kedua beradik ini.

Tiada siapa pun peduli dengan kegiatan senyap-senyap yang mereka jalankan di dalam bilik anak dara sunti itu. Sehinggalah pada suatu ketika kedua-duanya keluar dari bilik itu apabila mulut-mulut orang yang lebih tua mula memanggil-manggil dari luar.

Si abang yang ketika itu berusia hampir tiga tahun, keluar dari bilik itu dengan wajah yang bersahaja dan diiringi sang adik yang merangkak-rangkak tanpa arah. Kami memandang ke wajah mereka dengan rasa curiga apatah lagi apabila melihat wajah sang adik yang bernama Waie itu kelihatan semacam. Bagaikan ada yang tidak kena sahaja. Apalah rahsia mereka yang cuba disorokkan? Kami tertanya sendiri.

“Uwekkkk!!” Dan bertaburanlah cecair berwarna putih yang keluar dari mulut Waie. Kelam-kabut ibunya mendapatkan Waie dan membersihkan muntahan cecair putih yang semacam rupa dan baunya..

Dan abangnya memandang dengan wajah yang masih bersahaja.

Dan Mak Su bergegas ke kamar tidur tanpa disuruh-suruh lagi. Kedengaranlah bebelan yang amat membosankan daripada bibir Mak Su yang tidak boleh duduk diam. Mak Su yang gempal itu juga keluar dari bilik sambil menunjukkan deodorannya yang kelihatan tidak sempurna. Jelas, kelihatan bekas gigitan sesuatu pada bahagian atas sebatang deodoran yang berwarna putih.

Bagi kanak-kanak, deodoran yang putih dan lembut kelihatan sangat menarik. Mungkin bagi mereka ia membayangi sepotong aiskrim yang begitu menyelerakan. Barangkali kerana itulah, si abang yang lebih senior sanggup memberikan adik yang hanya tahu menerima untuk mencuba aiskrim ketiak Mak Su yang garang.

Kasihannya Waie yang aku sayang..

———————————————–

PERAGUT
“Huh! Penatnya! Kenapalah panas sangat hari ni! Rasa macam nak pengsan!” Rungut Natrah.

Natrah dan Syikin baru sahaja pulang dari bersiar-siar di KLCC. Perjalanan yang memakan masa hampir dua jam membuatkan penat menyelubungi seluruh tubuh. Kalau hendak diikutkan, bukan jauh sangat jarak antara lokasi itu dengan kawasan rumah mereka di Damansara Utama ini. Tahu sahajalah, menggunakan kenderaan awam untuk ke destinasi membuatkan jarak terasa jauh dengan kesesakan yang tiada taranya.

Mereka berbual kosong sementara mengisi waktu yang bersisa sedikit sahaja. Bukan kerana apa, sekadar mengalihkan minda agar tidak terlalu memikirkan kepenatan yang melanda. Menapak di waktu mentari sedang terpacak di atas kepala membuatkan titisan jernih yang kurang menyenangkan mudah benar untuk terpercik dari tubuh. Lantas, keadaan itu akan membuatkan emosi bertambah terganggu dek ketidakselesaan sendiri.

‘Tutt.. tutt..’

Bunyi itu kembali lagi. Sabur-limbur suaranya menyelinap ke dalam gegendang telinga. Kedua mereka berpandangan sesama sendiri tanpa bicara sepatah pun. Perbualan yang berlangsung selama beberapa minit tergantung sejenak dengan bunyian itu.

“Eh, telefon kau lah!” Syikin menggesa.

Sepantas itu juga Natrah menyeluk sakunya.Mengambil telefon bimbit dan menekan butang menerima panggilan dengan segera. Lantaran terlalu lama material itu menjerit tanpa dipedulikan. Takut nanti, ada kecemasan yang datang berkhabar. Dia tidak boleh berlengah lagi!

“Helo..” Ucap Natrah sebagai mukadimah pembuka kata. Dia tidak ambil kisah dengan keadaan yang menzahirkan dirinya ketika itu. Biarpun beg tangannya yang kecil itu terlucut dari bahu hampir sahaja ke sikunya. Rambutnya yang panjang separas bahu itu sedikit tidak terurus setelah disapa angin yang datangnya bertalu-talu.

“Helo..” sekali lagi dia berkata perkataan yang sama. Kali ini nada suaranya dikuatkan agar pihak yang satu lagi tidak punya masalah untuk memberikan tindakbalas segera.

“Aaaaa!!!!!!!!”Bagai hendak pecah kotak suara Syikin menjerit. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana segalanya berlaku dengan pantas. Bagaikan halilintar yang datang mengganas. Merobek segala kedamaian dan berlalu dalam sekelip mata.

Sekonyong-konyong itulah, tubuh Natrah rebah menyembah bumi. Perit tapak tangan yang bergesel dengan permukaan jalanraya yang panas membahang usah dipertikaikan lagi. Terbit sedikit gurisan yang bertitikkan rona merah di situ. Natrah tidak menangis. Sebaliknya hanya mampu mengadu kesakitan dalam satu kejutan yang tidak disangka-sangka. Telefon bimbitnya tercampak beberapa ela dari tempat tubuhnya berlabuh.

Natrah menyambar telefon bimbitnya. Bimbang andai terlewat nanti, satu-satunya harta berharga itu pula menjadi mangsa si peragut yang kejam. Dia bangun dengan bantuan daripada Syikin yang masih lagi trauma dengan kejadian itu.

“Beg kau.. aku tak sempat nak buat apa-apa..”

Itu kata Syikin. Wajahnya pucat lesi. Barangkali jika ditoreh dengan pisau sekalipun ia masih tidak menumpahkan darah. Rasa takut, bersalah dan bimbang bercampur gaul menjadi satu cacamarba yang mengusik keberaniannya.

“Tak apalah..Nak buat macam mana..” balas Natrah dalam nada bersahaja. Emosinya kembali tenang meskipun baru sahaja mengalami kejadian yang mengerikan. Meskipun kejadian ragut sudah acapkali berlaku di kawasan-kawasan sebegini, tetapi tidak pula tersangka olehnya suatu hari dia juga menjadi mangsa kepada manusia-manusia yang memilih kerjaya tidak bermoral itu!

Perjalanan mereka diteruskan beberapa langkah ke hadapan. Syikin hairan dengan sikap tenang temannya itu. Tidak seperti mangsa ragut yang pernah dibaca dalam akhbar, jelasnya gangguan emosi seakan tidak terwujud di dalam dirinya. Kenapa ya? Kenapa air wajahnya masih jernih?

“Kau tak risau ke?” Soal Syikin.

“Risau apa pulak?” Soal Natrah kembali.

“Orang lain kelam-kabut bila kena ragut. Kau ni rileks aje.. kenapa?”

“Tak apalah.. beg tu bukannya mahal sangat pun… RM10 je..”

“Aku bukan bercakap soal harga beg. Tapi.. macam mana dengan dompet kau? IC, duit kat dalam tu..?? Kau tak risau??”

Natrah mematikan hayunan kakinya. Dia berpaling memandang ke wajah temannya yang masih ragu-ragu dengan ketidakgusarannya menghadapi situasi getir. Suasana sepi seketika. Sehinggalah tiba saatnya Natrah tersenyum penuh makna. Membalas segala kekeliruan yang bersemi di dalam nurani Syikin. Dan Syikin terus melongo. Menunggu sebuah jawapan darinya.

“Dompet aku kat dalam poket seluar ni..” Natrah menepuk beberapa kali pada bahagian poket seluar jeans yang sedikit kembung.

Handphone aku kat tangan..” katanya lagi.

“Ohh.. patutlah kau tak risau.. ” Ujar Syikin. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali tanda faham. Lega sedikit perasaannya yang berkecamuk sebentar tadi.

Sunyi membungkam kembali sehinggalah sukma Syikin didesak dengan perasaan ingin tahu. Dia bertanya pada Natrah, “Habis… apa yang ada kat dalam beg tu??”

Natrah tersenyum. Dengan penuh yakin dia menjawab, “Sekeping kupon McDonalds yang aku dapat masa kita makan kat KL tadi..”

Dan kedua gadis itu ketawa berdekah-dekah mengenangkan nasib malang yang menimpa peragut itu!

Moral dalam cerita ini :

1. Pastikan dompet dan barang penting tidak disimpan di dalam beg, sebaliknya selit di dalam poket seluar atau kawasan yang sukar untuk diragut.

2. Meragut bukanlah sesuatu yang menguntungkan.

-dari sebuah kisah benar yang diubahsuai menjadi sebuah cerita untuk tatapan kawan-kawan.

Advertisements

Satu Respons to “Karya Insani”

  1. MAGH Says:

    elakkan peragut-


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: